PERJANJIAN WILAYAH PERAIRAN ANTARA INDONESIA DAN MALAYSIA

|

Pada hari ini 17.3.1970, satu perjanjian Wilayah Perairan Antara Indonesia dan Malaysia telah ditandatangani di Kuala Lumpur. Disamping itu satu Perjanjian Persahabatan Indonesia - Malaysia juga telah ditandatangani dalam upacara yang sama. Kedua-dua perjanjian ini ditandatangani oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak dan Menteri Luar Indonesia, Adam Malik. Upacara tersebut telah disaksikan bersama oleh Presiden Suharto dan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman. Perjanjian yang telah dibuat adalah merupakan kemuncak kepada usaha-usaha kerjasama yang telah mempereratkan hubungan kedua-dua negara yang telah terjalin selama ini dalam berbagai bidang dan lapangan.
Dalam ucapan di upacara tersebut, Tun Abdul Razak telah mensifatkan bahawa perjanjian-perjanjian yang ditandatangani itu boleh dianggap sebagai sebuah jabatan emas yang menghubungi selat dan lautan diantara kedua buah negara. Ianya akan memberi galakan dan kemudahan kepada rakyat Malaysia dan Indonesia untuk hidup bersama dan mencapai kemajuan, kemakmuran serta ketenteraman di Wilayah ini. Dengan kukuhnya tali persahabatan dan hubungan kedua negara sebagai jiran tetangga, maka sumbangan yang besar dapat diberi untuk mencapai kesetabilan dan cita-cita, bersama negara-negara di Wilayah ini dalam bentuk Piagam Persatuan Negara-Negara Tenggara Asia (ASEAN).
Upacara menandatangani perjanjian ini telah diadakan dalam suasana yang bersejarah iaitu sempena dengan lawatan Presiden Suharto ke Malaysia. Ketua-ketua kerajaan dari kedua-dua buah negara juga telah turut serta menyaksikannya. Ini membuktikan bahawa kedua-dua kerajaan sedang memberi perhatian dan tumpuan yang utama terhadap peri mustahaknya tali persahabatan dan perhubungan serta kerjasama yang erat diantara kedua buah negara untuk memelihara dan menjamin kepentingan bersama.
Semenjak Merdeka, Malaysia telah menandatangani perjanjian persahabatan cuma dengan sebuah negara sahaja iaitu Indonesia. Ini menjelaskan betapa pentingnya tali persahabatan antara kedua buah negara. Perjanjian Wilayah Perairan yang ditandatangani adalah satu-satunya bidang kerjasama yang telah dicapai dalam suasana yang penuh kemesraan, saling mengerti, persefahaman dan persaudaraan. Selat Melaka merupakan selat yang bersejarah yang meriwayatkan tali perhubungan sejak zaman berzaman.
Perjanjian Wilayah Perairan yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1970, bersama perjanjian Persahabatan antara Malaysia dan Indonesia adalah lahir dari hasrat untuk memperbaharui tali persahabatan dan perhubungan antara kedua negara. Kebetulan pula upacara yang bersejarah ini telah berlangsung ketika lawatan Presiden Suharto ke Malaysia.
Skrip: Diolah semula oleh ROSLAN MOHD RADZI
Sumber: Skrip HIDS siaran 1981
Hak Cipta Terpelihara Arkib Negara Malaysia

0 komentar: